KUALA LUMPUR: Land & General Bhd meninjau untuk membina lebih banyak rumah mampu milik bagi memberikan peluang pemilikan dalam kalangan pembeli rumah pertama.
Pengarah Urusannya, Low Gay Teck, berkata rumah mampu milik sentiasa menjadi segmen utama kumpulan dalam setiap projek hartanah memandangkan pemilikan rumah adalah satu keperluan, namun ramai yang tidak mampu disebabkan harga jualan terlalu tinggi.
“Setiap projek kumpulan pasti akan dibina rumah mampu milik. Malah, ia turut dilaksanakan dengan projek hartanah kerjasama Land & General dengan pemaju lain.
“Rumah mampu milik ketika ini juga menjadi keutamaan kepada semua pemaju hartanah di Malaysia. Pembangunan segmen kediaman ini bukan sahaja membantu penjualan, tetapi memberikan peluang kepada orang ramai memiliki rumah.
“Kumpulan juga memahami kehendak pasaran ketika ini terutama bagi golongan muda,” katanya ketika taklimat media secara maya hari ini.
Gay Teck berkata, kesedaran dan kehendak pembeli terhadap pemilikan rumah juga semakin meningkat walaupun ekonomi masih tidak stabil disebabkan pandemik COVID-19.
Beliau berkata, berdasarkan tinjauan kumpulan, pembeli mula menunjukkan minat terhadap projek hartanah dalam tempoh empat minggu lalu, seiring dengan pembukaan semula ekonomi.
“Ini berdasarkan minat dan kunjungan serta pertanyaan orang ramai terhadap projek hartanah kumpulan.
“Peningkatan semula ini memberikan impak positif kepada industri hartanah negara, sekali gus dijangka memacu jualan hartanah kumpulan bagi tahun kewangan 2021,” katanya.
Gay Teck berkata, pembeli juga lebih selesa dan dapat mengadaptasi penggunaan digital bagi meninjau projek hartanah yang ingin dimiliki,
Katanya, sejak 18 bulan lalu, peratusan pembeli yang menggunakan platform digital bagi melihat unit kediaman dan bertanyakan maklumat semakin meningkat.
“Ini membuktikan dalam norma baharu, penggunaan digital adalah salah satu indikator penting dalam penjualan termasuk hartanah,” katanya.
Beliau menambah, industri hartanah secara keseluruhan dijangka kembali stabil disebabkan langkah kerajaan membuka kembali beberapa sektor ekonomi dan kebenaran pergerakan yang lebih longgar.
“Industri hartanah akan kembali pulih dalam suku akan datang. Walaupun bukan secara mendadak, tetapi ia adalah salah satu petunjuk positif selepas berdepan dengan ketidaktentuan sejak 2020.
“Malah, inisiatif kerajaan juga turut membantu pemulihan seperti lanjutan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) sehingga 31 Disember ini,” katanya.
Gay Teck berkata, prestasi suku pertama kumpulan yang berakhir 30 Jun 2021 turut menyaksikan pendapatannya meningkat ketara kepada RM30.6 juta berbanding RM14.7 juta tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata, peningkatan adalah hasil jualan yang lebih tinggi bagi projek hartanah Damansara Seresta, Bandar Sri Damansara; Fasa 1 Astoria Ampang dan Fasa 1A Sena Parc di Senawang.
Katanya, keuntungan sebelum cukai Land & General juga melonjak 84 peratus kepada RM9.3 juta berbanding RM5.1 juta pada suku pertama tahun lalu.
Source: Berita Harian
https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2021/09/864485/land-general-rancang-lebih-banyak-rumah-mampu-milik